suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kertas soalan SPM didakwa dijual RM500 di Telegram, siap kutip RM10 seorang

Setiap calon perlu bersedia untuk menduduki peperiksaan SPM. -Gambar hiasan

BELUM reda isu kertas peperiksaan Pendidikan Moral Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang dikatakan bocor, media sosial terus kecoh apabila muncul dakwaan lain kononnya soalan peperiksaan dijual menerusi kumpulan sembang Telegram pada harga RM500.

Bagaimanapun, mata pelajaran yang dikatakan terlibat dalam urusan jual beli itu tidak dinyatakan.

Dakwaan penjualan soalan itu mula menjadi perhatian selepas beberapa pengguna Threads berkongsi tangkap layar perbualan dalam kumpulan Telegram yang dipercayai membincangkan usaha mengumpul wang untuk membeli kertas peperiksaan berkenaan.

Perkongsian itu turut mengundang persoalan susulan penjelasan Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum ini bahawa isu soalan Pendidikan Moral yang tular tidak menepati tafsiran kebocoran soalan seperti ditetapkan dalam Dasar Pentaksiran Kebangsaan Edisi Ketiga Tahun 2023.

Antara dakwaan yang dibuat pengguna Threads di ruang komen balas hantaran berkaitan isu kebocoran.

Antara dakwaan yang dibuat pengguna Threads di ruang komen balas hantaran berkaitan isu kebocoran.

Seorang pengguna Threads mendakwa, ahli kumpulan Telegram berkenaan diminta mengumpul RM10 seorang bagi mencukupkan bayaran RM500 untuk mendapatkan kertas soalan yang didakwa bocor itu.

Menurutnya, kumpulan berkenaan turut dipercayai mempunyai kira-kira sembilan hingga 10 pentadbir (admin).

"Siap cakap kawan dia tengah kumpul duit RM10 setiap seorang untuk bayar kertas bocor berjumlah RM500," dakwa individu terbabit sambil meminta perhatian LP.

Dalam perkongsian berasingan, seorang lagi pengguna mempersoalkan bagaimana salinan digital yang didakwa mengandungi soalan peperiksaan boleh diperoleh dan disebarkan.

Dia bagaimanapun menjelaskan fail berkenaan diterima pada pukul 8.12 malam, selepas selesai menduduki peperiksaan.

Calon perlulah membuat persiapan sebelum menduduki peperiksaan. -Gambar hiasan

Calon perlulah membuat persiapan sebelum menduduki peperiksaan. -Gambar hiasan

Meskipun kertas berkenaan sudah dijawab, pengguna itu tetap mempersoalkan bagaimana seseorang boleh menghasilkan semula kesemua 40 soalan berserta pilihan jawapan secara terperinci.

"Takkan pelajar boleh hafal terperinci soalan satu hingga 40 berserta pilihan jawapan betul?" ajunya, meluahkan rasa hairan terhadap salinan digital yang tular itu.

Sementara itu, seorang lagi pengguna mengaitkan isu berkenaan dengan dakwaan kertas peperiksaan dicetak di luar negara, selain mendakwa satu kertas soalan dijual pada harga sehingga RM500.

Individu itu turut menandakan akaun Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek dan LP bagi meminta tindakan lanjut kerana menyifatkan keadaan tersebut tidak adil kepada calon lain.

"Banyak yang bocor daripada warga China... jual sampai RM500 untuk satu kertas, tolonglah ambil tindakan dan janganlah cetak kertas SPM di luar negara. Memang tak adil sangat bagi yang tiada kenalan luar sana," luahnya.

Bagaimanapun, lokasi percetakan serta kesahihan bahan yang didakwa dijual itu masih belum dapat disahkan.

Semua calon diingatkan agar berhati-hati dengan risiko penipuan berkaitan peperiksaan SPM tahun 2026. -Info grafik Lembaga Peperiksaan

Semua calon diingatkan agar berhati-hati dengan risiko penipuan berkaitan peperiksaan SPM tahun 2026. -Info grafik Lembaga Peperiksaan

Mengulas perkara itu, akaun rasmi LP menerusi Threads memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap aduan orang ramai dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

"Salam sejahtera. Terima kasih atas makluman. Lembaga Peperiksaan mengambil maklum perkara ini dan siasatan lanjut sedang dilaksanakan," ujarnya di beberapa hantaran yang ditandai berkaitan isu kebocoran soalan.

Pada Jumaat, LP memaklumkan pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM 2026 bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Menurut LP, maklumat yang tular dipercayai mempunyai kaitan dengan modus operandi penipuan yang mengambil kesempatan terhadap kebimbangan serta keinginan calon untuk memperoleh keputusan cemerlang.

Sehubungan itu, LP menasihatkan calon, ibu bapa dan orang ramai supaya berwaspada dengan tawaran penjualan soalan peperiksaan serta tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.

Artikel Lain